Pages

Monday 18 July 2011

'Tidur-Tidur Ayam' Selamat Nyawa

Tidur memainkan peranan penting kepada kesihatan seseorang sama ada semasa memandu kenderaan di daratan atau mengendalikan bot atau kapal semasa di lautan. Jika mengantuk yang tidak terkawal boleh membawa mudarat seperti terbabit dalam kemalangan sama ada di jalan raya atau di laut.
 Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman di laut selain menjadi tempat kita mencari rezeki, laut juga tempat yang penuh dengan cabaran walaupun tidak sesibuk seperti di darat. Namun laut tetap dikategorikan sebagai tempat berbahaya yang mesti difikirkan sebelum melangkah turun ke laut.
 Pengalaman yang hendak dikongsikan kali ini walaupun dianggap ringan tapi faedahnya besar. Kaki pancing yang sentiasa menjalani aktiviti memancing di laut digalakkan supaya belajar 'tidur-tidur ayam' terutama kepada tekong. Cara berkenaan mempunyai kebaikan terutama untuk menjaga keselamatan dan bertindak pantas jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
 Tidur-tidur ayam dalam bot tidak banyak menimbulkan masalah kerana tidak perlu disediakan tilam atau bantal kerana kita bukan bertujuan untuk tidur nyenyak semasa menjalankan aktiviti memancing namun tidur untuk berehat supaya mendapat semula tenaga, sebelum meneruskan aktiviti memancing yang mungkin berlarutan hingga beberapa hari.
 Tidur nyenyak yang panjang ketika di laut merugikan masa yang sepatutnya digunakan untuk memancing, sebab itu tidur-tidur ayam digalakkan supaya masa memancing lebih panjang.
 Satu lagi tidur-tidur ayam juga untuk menjaga keselamatan. Pernah berlaku peristiwa yang hampir meragut nyawa sepuluh pemancing dalam satu bot yang dapat mengubah haluan kapal dagang daripada melanggar bot pemancing terbabit.
 Pemancing yang tidur-tidur ayam dapat melakukan tindakan keselamatan dengan memberi isyarat lampu kepada kapal terbabit yang akhirnya dapat dikesan oleh kapal yang berhadapan dengan mereka. Sebab itu kebanyakan tekong dan pemancing berpengalaman tahu cara bagaimana untuk tidur-tidur ayam ketika berada di laut.

No comments:

Post a Comment