Sunday, 10 July 2011

Batu Ladung Penentu Nasib

Batu ladung atau pemberat berperanan dalam memastikan hasil tangkapan pemancing. Bagaimanapun, ramai kurang arif mengenai kesuaian penggunaannya sama ada bentuk, saiz serta beratnya.

*Batu ladung bujur - Bentuknya amat sesuai digunakan di laut mahupun sungai. Keadaannya yang bujur menjadikan ia berkedudukan statik dan menyukarkannya bergerak dibawa arus. Ia bermula daripada nombor 1 hingga 9.
 Batu nombor 1 hingga 3 sesuai digunakan untuk memancing ikan kuku manakala nombor 7 dan 8 ikan siakap. Kedua-duanya amat gemar bermain di kawasan kuala terutama ketika air pasang.
 Ketika itulah arus deras dari laut memasuki kuala dan batu ini dapat menahan umpan daripada dihanyutkan.

*Batu ladung bujur leper - Bentuknya direka untuk memastikan umpan tidak hanyut apabila dilontar ke kawasan tepi pantai. Batu nombor 3 dan 4 amat sesuai untuk memancing ikan bersaiz kecil serta tidak ganas seperti gelama atau gerut-gerut.
 Batu nombor 5 pula sering digunakan untuk kawasan kuala atau berarus deras, di mana keistimewaannya membuatkan umpan boleh terapung sedikit seolah-olah menjadikan umpan seperti hidup.

*Batu bulat - Mempunyai satu bulatan dawai untuk diikat pada tali utama atau dicangkut pada swivel. Batu ini dijual dari nombor 1/2 hingga 6. Batu bernombor kecil (1/2 hingga 3) amat sesuai digunakan di sungai atau tasik, manakala 4 hingga 6 di laut.

*Batu ranggong - Amat sesuai digunakan di laut. Boleh didapati dari nombor 10 hingga 13 dan tali digunakan untuk mengikatnya ialah tanduk kerbau atau lembu yang diraut seperti lidi sepanjang dua jengkal. Pada hujungnya diikat dengan batu ranggong dan hujung yang lain diikat dengan tali perambut.
 Tali utama pula diikat pada bahagian tengah. Pemasangan tanduk membolehkan umpan bergerak dan tidak tersangkut di batu karang.

*Batu panjang - Bentuknya menajam di kedua-dua hujungnya. Sesuai digunakan memancing di tepi pantai atau kuala. Pemberat bentuk ini boleh didapati daripada nombor 3 hingga 6.
 Nombor 3 sesuai digunakan untuk memancing ikan gelama di tepi pantai, memandangkan arus deras. Manakala nombor 5 dan 6 sesuai digunakan di kuala. Saiznya lebih berat mampu mengurangkan rintangan arus di dasar.

No comments:

Post a Comment