Pages

Monday 18 July 2011

Kenal Pasti Lubuk Sebelum Memancing

Kata pepatah orang tua-tua, berjalan siang pandang-pandang, berjalan malam dengar-dengar. Apakah maksud yang tersirat di sebalik pepatah ini? Jawapannya mudah jika ditafsirkan atas kenyataan yang paling hampir pada diri sendiri. Kita yang melakukan perjalanan pada waktu siang yang dapat melihat segenap ruang depan dan kanan kiri jelas.
 Kita boleh mengelak daripada sebarang bahaya. Ini berlainan pula pada waktu malam yang mana kita hanya dapat menggunakan telinga untuk mendengar sedangkan mata cuma dapat menembusi jarak pandangan yang sangat terhad.
 Beralih pada terjemahan lain pepatah ini, ia boleh dikaitkan dengan sesuatu yang baik dilakukan biar kena pada tempatnya dan bukan atas sebab-sebab ada udang di sebalik batu.
 Justeru berdasarkan atas fakta daripada pepatah ini, saya mengaitkan terjemahan pada aktiviti memancing yang mungkin lebih dekat dengan kita dan baik jika diamalkan sebelum meninggalkan rumah (turun dari rumah) untuk mencari rezeki sama ada di laut, sungai, lombong atau tasik.
 Langkah pertama, anda perlu mendapatkan tekong yang berpengalaman dan boleh diterima pakai kejujurannya. Dia juga berupaya mengenal pasti kawasan yang selamat. Jika di sungai, lubuk-lubuk yang tidak harus dikunjungi dan bahaya ada 'keras' (tempat ada penunggu) yang boleh dipercayai mengenai kewujudannya kerana makhluk itu tidak dapat dilihat oleh manusia kecuali atas sebab-sebab tertentu.
 Di samping itu, tekong juga perlu mengetahui terlebih dulu keadaan cuaca, pasang dan surut air laut serta pelbagai lagi maklumat awal demi kebaikan dan keselamatan.
 Orang-orang tua sering mengaitkan juga bahawa lokasi memancing adalah lokasi keras yang sering diganggu oleh makhluk halus sama ada lokasi ini berada di darat mahupun di laut.
 Justeru, mengenal pasti tempat ini lebih dulu adalah satu persediaan yang sangat perlu bagi pemancing. Malah amalan ini perlu dijadikan petua selain daripada minta pertolongan Allah pada setiap masa. Allah berfirman dalam Al-Quran yang maksudnya: "Akulah yang berkuasa di darat dan di laut, Aku yang menentukan buruk baiknya seseorang itu dan Aku yang menentukan rezeki kamu."
 Saya harap kepada semua pemancing harus mengamalkan prosedur mengenal pasti dulu tempat atau lokasi memancing sebelum turun memancing kerana mengenali dulu sesuatu itu adalah kebaikan.
 Istilah zaman anak muda sekarang ialah kita kena buat 'homework' atau kerja rumah sebelum pergi. Ini bukan setakat lubuk malah anda perlu tahu spesies ikan di situ, umpan sesuai, jaraknya, halangannya, kelebihannya dan kewajarannya.

No comments:

Post a Comment