Sunday, 10 July 2011

Cara Melaras Sistem Tegangan Kekili Dengan Betul

Kebiasaan sebelum memancing, kita perlu memasang kekili pada joran. Tangsi yang digulung dalam mesin pula pasti anda tahu kekuatannya sama ada 10 paun, 20 paun, 30 paun dan sebagainya.
 Untuk melaraskan sistem tegangan (drag system) yang betul, uji ia terlebih dulu. Caranya mudah, ikat hujung tangsi dengan kemas dan kuat pada sebarang objek yang teguh seperti tombol pintu sebagai umpannya. Undur 5 hingga 10 langkah ke belakang.
 Angkat joran kemudian bengkokkan badan ke belakang supaya joran melengkung seolah-olah anda bertarung dengan ikan besar. Ketika lengkungan joran terhenti pada tahap maksimum, longgarkan sistem tegangan (biasa berada di hadapan atau belakang kekili mendatar, di sisi untuk kekili menegak) sehingga tangsi meleret keluar dari gelendungnya (mesin).
 Ketika ini, anda boleh bayangkan bertarung dengan ikan yang sedang menarik keluar tangsi. Apabila tangsi mula keluar, hentikan melonggar sistem tegangan. Tahap ini sudah memandai. Ujian ini boleh dilakukan jika tiada alat menimbang untuk mengukur kekuatan sistem tegangan. Kebanyakan pemancing berpendapat kekuatan sistem tegangan selamat ialah 1/3 dari kekuatan tangsi.
 Saya ambil contoh jika tangsi 30 paun digunakan, sistem tegangan selamat ialah 10 paun. Untuk melaraskan ia dengan tepat, skala penimbang diperlukan yang mempunyai gelung di hujung dan cangkuk di hadapan. Ia banyak dijual di kedai pancing. Ikat atau pasang skala penimbang di pagar rumah atau pokok dengan ketinggian 1 meter dari tanah.
 Ikat tangsi pada hujung satu lagi (cangkuk) dan buat gerakan mengundur sambil tegangkan tangsi. Tegakkan joran seperi ujian pertama tanpa skala penimbang dan perhatikan bacaan skala ketika tangsi keluar. Anda memerlukan seorang rakan untuk memberitahu bacaan skala.

No comments:

Post a Comment