Pages

Sunday 9 October 2011

Umpan Tapa Kemboja Power Di Sungai

Umpan paling busuk atau umpan tapa dikatakan menjadi kegilaan pemancing tempatan sekarang ini untuk memburu spesies baung kerana mempunyai isi yang sedap.
 Selain dibuat sendiri, umpan ini boleh dibeli di kedai pancing sekitar Lembah Klang yang dikatakan laris hingga mendapat permintaan tinggi dari pemancing yang gemarkan ikan berkenaan.
 Jenis umpan yang dikenali ramai iaitu tapa Kemboja yang diimport dari negara terbabit dikatakan cukup 'power' menjerat spesies ini walaupun harganya mencecah RM60 sebotol.
 Tambahan pula, informasi mengenai keberkesanannya heboh dibincangkan di laman web atau majalah membuatkan pemancing berpusu-pusu untuk mempraktikkannya.
 Cara pembuatan umpan ini iaitu dengan menjeruk spesies ikan belanak dalam tempoh yang ditentukan dalam tempayan atau bekas kedap udara untuk mendapatkan bau yang sangat busuk.
 Cara memancing ikan ini sangat mudah iaitu menggunakan set ringan dan perambut setengah depa serta batu ladung hidup sudah cukup untuk menarik spesies ini keluar dari sarangnya seperti di tunggul kayu dan timbunan ranting yang terbenam dalam sungai ataupun lombong.
 Penggemar penggunaan umpan tapa ini, Mohd Nasir Mohammad Salleh, 30, berkata umpan tapa Kemboja yang dibelinya cukup berkesan menjinakkan spesies bermisai ini walaupun memancing dalam keadaan air yang keruh atau waktu siang.
 "Bau umpan ini sangat busuk. Untuk memasang umpan di mata kail ini kita perlu menggunakan sarung tangan getah. Sekali terkena, berhari-hari bau itu melekat dan hendak makan nasi pun terasa baunya. Tetapi selepas melabuhkan dalam sungai, sekejap saja ikan baung dapat dinaikkan," katanya ketika ditemui Rawang baru-baru ini.
 Beliau yang kerap memburu spesies ini menambah, saiz yang diperoleh menggunakan umpan ini cukup memuaskan berbanding menggunakan umpan cacing atau cengkerik.
 "Rekod tangkapan dua kilogram di sungai Selangor mudah saja didaratkan dengan umpan tapa yang mujarab ini. Saya rasa bau tengik yang dikeluarkan oleh umpan tapa ini membuatkan baung 'terliur' dan segera menjamahnya," katanya.
 Umpan tapa bukan saja digunakan untuk ikan baung saja, malah ikan patin, keli dan udang galah juga gemar umpan ini kerana baunya. Tidak hairanlah ada pemancing sanggup mengeluarkan modal yang tinggi untuk memilikinya kerana stok umpan ini dikatakan terhad.

Sunday 21 August 2011

Jangan Memancing Semasa Kilat

Cuaca banyak memainkan peranan penting dalam sebarang aktiviti sukan dan riadah. Begitu juga dengan aktiviti memancing, cuaca tetap menjadi sebahagian daripada fenomena yang penting terutama ketika berada di tengah laut dan jauh dari pulau dan tanah besar.
 Pernah berlaku beberapa peristiwa semasa satu kumpulan pemancing muda melakukan ekspedisi memancing di laut berhampiran perairan Pulau Bidong Terengganu, beberapa tahun lalu.
 Menurut cerita Pak Wan Dollah, tekong veteran yang kini sudah berusia 88 tahun dan tidak lagi turun ke laut tapi masih dapat mengingati kumpulan yang tidak mengendahkan larangan atau petua ketika memancing ketika berlaku kilat sabung menyabung.
 Jika berlaku sebarang suasana sedemikian pemancing tidak digalakkan mendedahkan diri di tempat lapang yang terbuka atau tidak memegang joran atau memegang batang besi kerana ia mudah disambar petir.
 Menurut Pak Wan Dollah, ketika membawa rombongan pemancing beliau menasihatkan kaki pancing supaya patuh kepada petua seperti yang dinyatakan di atas tapi petua itu langsung tidak diendahkan sebilangan pemancing yang terdiri daripada lapan orang anak muda.
 Dalam suasana cuaca yang berubah dengan tiba-tiba angin kencang bertiup berserta guruh dan kilat, gelombang besar mula mengubah ganas di laut yang tadinya tenang.
 Pak Wan Dollah mengarahkan kaki pancing supaya beredar masuk ke kabin dan tidak mendedahkan diri bagaikan mencabar kilat yang mula memanah beberapa kaki pancing yang degil itu.
 Suasana menjadi kelam kabut kerana tiga pemancing pengsan apabila joran pancing mereka disambar kilat. Pak Wan Dollah terpaksa melakukan rawatan daripada pengalamannya yang luas dalam menghadapi situasi begitu.
 Rakan pancing lain menginsafi kedegilan setelah melihat rakan mereka yang dan tidak langsung mahu mendengar nasihat tekong atau mengamalkan petua yang baik itu.
 Justeru nasihat saya perlu elakkan diri daripada mencabar kilat dengan mendedahkan diri kepada keadaan sedemikian. Berhentikan sebarang aktiviti memancing semasa guruh dan kilat sabung menyabung.
 Berlindung di tempat yang selamat serta berzikir untuk kebaikkan semua. Insya-Allah Tuhan akan mengingati kepada orang yang ingat kepadanya.

Potong Sengat Ikan Bisa Ke Tahap Maksimum

Satu perkara yang harus diingatkan kepada pemancing yang pulang membawa rezeki tangkapan dari hasil memancing sama ada dari sungai, paya, tasik atau laut yang membawa spesies ikan berduri (sengat) hendaklah terlebih dulu dipotong duri-duri berkenaan selepas ikan dinaikkan.
 Duri yang belum dipotong hujungnya mengandungi racun berbisa yang boleh mengundang sakit dan bisa yang berlarutan jika tidak diberi rawatan segera.
 Kita (pemancing) kadang-kadang terlupa untuk mematahkan duri (sengat) spesies ikan mayung, pari, baung, keli, sembilang atau spesies ikan-ikan lain yang berduri tajam yang pasti sangat berbahaya.
 Kita tentu tidak mahu isteri dan anak-anak yang bakal jadi mangsa dari kecuaian kita, atau anda sendiri yang bakal menentukan sekali lagi semasa tiba di rumah dan bukan menyerahkan kepada isteri atau memberikan anak-anak bermain dengan ikan-ikan berkenaan dalam kotak sejuk yang belum diusik.
 Kadang-kadang kita kurang waspada kerana tidak memotong dengan berhati-hati hujung duri atau sengat sudah dipotong masih mempunyai tunggul yang masih berbisa. Tunggul ini berbahaya kepada isteri dan anak-anak jika terkena.
 Sebagai langkah berjaga anda sendiri perlu menyiang dan membersihkan ikan berduri itu. Duri yang sudah dipotong hendaklah dibuang dalam satu bekas khas supaya tidak menjadi mangsa kepada kucing kesayangan keluarga anda.
 Jika terkena bisa sapukan getah betik muda atau tumbuk halia pada tempat yang terkena sengat. Bagaimanapun lebih baik berjumpa doktor di klinik atau hospital.
 Namun dalam apa juga keadaan anda sendiri perlu menentukan semua ikan berduri (ada sengat) dipotong hingga tahap maksimum. Duri sengat ikan yang berbisa ada yang membawa maut, justeru anda pemancing perlu sentiasa awasi bahaya ini.

Sunday 31 July 2011

Katak Minyak Umpan Haruan, Bujuk

Katak minyak yang biasanya ditemui dalam parit atau bawah daun cukup dikagumi kaki mengilat ikan air tawar seperti haruan atau bujuk yang gemar menggunakan umpan ini untuk memburu dua spesies terbabit.
 Selain mudah didapati, spesies amfibia yang berkaki panjang di belakang dan berkaki pendek di depannya serta berkulit perang muda pada badan dikatakan paling berkesan untuk menjerat ikan terbabit sebagai diet makanan utamanya.
 Asalnya daripada telur atas permukaan air, katak minyak ini yang juga seperti katak lain akan berkembang menjadi anak berudu kemudian berubah menjadi katak dewasa apabila mencapai tempoh matangnya.
 Bergerak secara melompat dari satu tempat ke tempat lain dan menjadikan serangga sebagai makanannya, katak ini gemar menjadikan kawasan tanah lembap sebagai habitatnya untuk berlindung dari musuhnya.
 Secara amnya, spesies dari famili Anura mudah dikesan apabila mengeluarkan bunyi menguap secara berterusan ketika musim mengawan atau hujan.
 Di arena memancing, katak minyak bersaiz satu hingga dua sentimeter saja akan digunakan. Caranya, mata kail bersaiz enam atau tujuh dicangkuk pada bahagian duburnya hingga ke dalam perut.
 Cara berkesan untuk menjerat ikan haruan menggunakan katak ini, adalah gewang jenis perambut getah atau dikenali sebagai 'janggut' oleh pemancing tempatan akan dicangkuk pada katak itu.
 Umpan ini dibaling ke kawasan reba kayu dan selepas itu karauan secara perlahan dilakukan untuk merangsang deria bau ikan.
 Di kedai akuarium, katak banyak dijual dan harganya sekitar 40 sen seekor dan mereka yang ingin mencari sendiri boleh melakukannya dengan menyuluh katak itu di sekitar kawasan padang lembap atau tebing parit, sawah atau sungai.
 Kini, katak tiruan juga boleh didapati sekitar kedai menjual peralatan memancing dengan pelbagai saiz dan warna. Katak tiruan kurang efektif berbanding katak hidup, ini kerana faktor bau katak hidup dikatakan cepat merangsang spesies haruan untuk memakannya.

Saturday 23 July 2011

Muara Sungai Zon Bahaya Kepada Pemancing

Kita kadang kala terlupa atau sengaja tidak mahu memikirkan tentang keselamatan diri ketika pulang dari memancing sama ada membawa rezeki yang lumayan atau sebaliknya.
 Keselamatan diri yang hendak dikaitkan pada kali ini ialah semasa bot yang hendak memasuki kuala justeru tekong-tekong sudah maklum tentang bahaya yang bakal dilalui dan tentunya berjaga-jaga, tapi pemancing tentunya tidak banyak yang memikirkan bahaya ini.
 Saya melalui pengalaman sebagai warga pelaut sejak kecil lagi sudah diberi penerangan mengenai bahaya di muara sungai. Air sungai yang keluar dan air laut yang masuk akan bertembung lalu menjadi pecahan gelombang yang tidak menentu dan berbahaya jika bot tidak dapat dikawal terutama bot-bot laju gantian kaca. Sebab itu peristiwa bot tenggelam sering kita dengar apabila hendak masuk ke muara.
 Daripada peristiwa yang berlaku ini saya mengingatkan supaya kaki pancing mengambil kira soal keselamatan diri semasa pulang atau hendak keluar dari kawasan kuala. Selalu ingatkan tekong terutama tekong muda yang kadang kala terlepas pandang, terlupa atas sebab-sebab tertentu.
 Justeru sifat saling mengingatkan itu adalah satu amalan yang sangat baik untuk pemancing lakukan semasa berada dalam sebuah bot. Terbaik untuk dilakukan oleh pemancing semasa berada dalam kawasan Zon Bahaya ini agar semua pemancing berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang bahaya yang bakal berlaku. Berdoa kepada Allah untuk keselamatan itu paling baik untuk dilakukan.
 Bagi nelayan atau warga pelaut yang sudah lama mengenal laut, muara sungai adalah kawasan paling utama diberikan perhatian sama ada keluar atau masuk. Bagi laut terbuka seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang, kuala sering terjadi malapetaka bot karam dan ada yang mengorbankan nyawa.

Friday 22 July 2011

Buaya Pantang Dayung Melintang

Kuala Ketil: Bagi yang ingin memancing dalam suasana tanpa gangguan terutama di sungai yang ada buaya, petua Abdul Wahab Zakaria, 50, boleh digunapakai.
 Apatah lagi bagi pemancing yang terkena 'badi' udang galah, petua amalan Abdul Wahab sejak sekian lama bukan saja mampu menghindar gangguan sang bedal malah joran lebih mudah memperdayakan si sepit biru itu.
 Petua itu diwarisi daripada arwah ayahnya, yang memang pakar menjejak lubuk udang galah suatu ketika dulu. Dengan izin Allah, Abdul Wahab yang juga mahir menjinakkan udang galah belum pernah mengalami kejadian tidak diingini ketika memancing.
 Petuanya amat mudah, katanya yang menetap di Kampung Padang, Kulim."Ketika anda memancing sama ada dalam bot atau sampan yang berlabuh di tengah atau di tepi sungai, pendayung jangan diletakkan dalam keadaan melintang. Kalau membawa galah pun perlu jangan diletakkan melintang," katanya. Seelok-eloknya, pendayung atau galah perlu diletakkan dalam keadaan membujur (selari dengan kedudukan bot atau perahu).
 Berdasarkan pengalaman memancing bersama arwah ayahnya, jika petua itu diabaikan, akibatnya ialah mengundang gangguan buaya.
 Beliau berkata, raja sungai itu amat pantang jika pemancing meletakkan pendayung atau galah melintang perahu ataupun bot. "Kalau dibuat juga, pemancing akan menerima musibah. Buaya akan mengganas dan kalau silap haribulan, nyawa akan jadi pertaruhan!"
 "Arwah ayah pernah menceritakan seorang kawannya yang memancing seorang diri di Sungai Sedim suatu ketika dulu diganggu buaya gara-gara terlupa meletakkan pendayung pada kedudukan yang betul."
 "Dua ekor buaya timbul di permukaan sungai kira-kira tiga meter dari perahunya. Menyedari berdepan bahaya, dia segera beredar dari situ dan merapatkan perahu ke tebing sungai," katanya.
 Sebaik saja dia naik ke tebing, tiba-tiba kelihatan ekor buaya melibas bahagian belakang perahunya. Bahagian itu berkecai akibat libasan buaya yang seakan-akan memberi amaran," katanya.
 Abdul Wahab berkata, jika seseorang mengamalkan petua itu, pemancing bukan saja tidak diganggu buaya malah akan memperoleh tangkapan udang galah yang lumayan.
 Bagaimanapun, katanya, faktor cuaca dan keadaan air sungai juga perlu diambilkira. "Memang tidak dinafikan, di mana banyak udang galah, di situlah ada buaya. Berhati-hatilah jika memancing udang galah," nasihatnya lagi.

Awan Hitam Amaran Ribut Akan Melanda

Kita menyedari bahawa memancing sama ada di laut mahupun di sungai dan tasik adalah hobi yang masing-masing yang kadang kala berdepan dengan pelbagai dugaan dan rintangan sama ada dalam perjalanan mahupun ketika berada di lokasi.
 Kali ini, saya menumpukan fokus ketika memancing di laut yang banyak perlu diketahui oleh pemancing terutama pemancing generasi muda yang baru berjinak dengan hobi berkenaan. Pertama, untuk memahami tanda-tanda ribut akan melanda. Ia bermula dengan kemunculan awan hitam (kelabu pekat) yang menebal menutup kaki langit terutama di bahagian sebelah barat. Ini kemudian disusuli dengan angin yang mula bertiup agak kencang daripada biasa. Ia turut diikuti dengan pecahan gelombang kecil yang memutih di sana sini. Guruh sesekali berbunyi dan kilat memecah antara kumpulan awan hitam. Sejuk terasa di cuping telinga serta diikuti dengan keadaan bot mula dirasakan terumbang-ambing kiri dan kanan.
 Ketika berdepan dengan keadaan begini, sama ada tekong mahupun anda yang lebih arif dengan cuaca terpaksa meninggalkan kawasan lubuk dengan seberapa segera. Walaupun pada masa itu ikan sedang rancak memburu umpan, anda mesti mengutamakan keselamatan daripada ikan.
 Langkah keselamatan perlu diambil. Nyawa lebih utama daripada ikan yang boleh dipancing pada masa dan hari yang lain. Justeru, usaha mencari tempat berlindung perlu dilakukan serta-merta. Anda perlu memberikan kerjasama kepada tekong. Ini termasuk membantu tekong menarik tali sauh selain segera menggulung tali pancing dan kemudian bersiap sedia untuk bergerak mencari tempat berlindung. Kerjasama dalam detik sebegini sangat berguna.
 Amaran terakhir ribut akan tiba bersama gelombang besar ialah sebaik saja kilat muncul menegak dari laut ke langit atau pada penglihatan mata kasar kita nampak kilat memancar tegak dari langit ke laut (itu satu tafsiran mata). Namun apa pun jika isyarat pancaran kilat menegak itu berlaku maka itu dianggap sebagai amaran terakhir bahawa kita harus bertindak segera meninggalkan lokasi dan mencari tempat selamat.
 Ingat, usaha menyelamatkan diri mesti dilakukan dengan pantas. Jika tidak, kita akan berdepan dengan ribut dan gelombang besar yang akan menghempas bot atau sampan. Ketika ini, semua pemancing mesti berada dalam kabin bot dalam satu kumpulan. Anda tidak digalakkan berada di luar sambil berjalan termasuk di birai bot. Dalam keadaan angin kencang bertiup serta bot dilambung ombak besar maka bahaya yang mungkin anda lalui ialah tercampak ke laut atau jatuh dalam bot dengan kecederaan serius pada mana-mana bahagian tubuh seperti kepala, sendi lengan dan kaki atau tulang belakang.
 Sebagai langkah terbaik, berpandulah pada petua-petua yang dikaitkan dengan tanda-tanda ribut akan turun serta bertindak pantas demi keselamatan nyawa anda.