Friday, 22 July 2011

Buaya Pantang Dayung Melintang

Kuala Ketil: Bagi yang ingin memancing dalam suasana tanpa gangguan terutama di sungai yang ada buaya, petua Abdul Wahab Zakaria, 50, boleh digunapakai.
 Apatah lagi bagi pemancing yang terkena 'badi' udang galah, petua amalan Abdul Wahab sejak sekian lama bukan saja mampu menghindar gangguan sang bedal malah joran lebih mudah memperdayakan si sepit biru itu.
 Petua itu diwarisi daripada arwah ayahnya, yang memang pakar menjejak lubuk udang galah suatu ketika dulu. Dengan izin Allah, Abdul Wahab yang juga mahir menjinakkan udang galah belum pernah mengalami kejadian tidak diingini ketika memancing.
 Petuanya amat mudah, katanya yang menetap di Kampung Padang, Kulim."Ketika anda memancing sama ada dalam bot atau sampan yang berlabuh di tengah atau di tepi sungai, pendayung jangan diletakkan dalam keadaan melintang. Kalau membawa galah pun perlu jangan diletakkan melintang," katanya. Seelok-eloknya, pendayung atau galah perlu diletakkan dalam keadaan membujur (selari dengan kedudukan bot atau perahu).
 Berdasarkan pengalaman memancing bersama arwah ayahnya, jika petua itu diabaikan, akibatnya ialah mengundang gangguan buaya.
 Beliau berkata, raja sungai itu amat pantang jika pemancing meletakkan pendayung atau galah melintang perahu ataupun bot. "Kalau dibuat juga, pemancing akan menerima musibah. Buaya akan mengganas dan kalau silap haribulan, nyawa akan jadi pertaruhan!"
 "Arwah ayah pernah menceritakan seorang kawannya yang memancing seorang diri di Sungai Sedim suatu ketika dulu diganggu buaya gara-gara terlupa meletakkan pendayung pada kedudukan yang betul."
 "Dua ekor buaya timbul di permukaan sungai kira-kira tiga meter dari perahunya. Menyedari berdepan bahaya, dia segera beredar dari situ dan merapatkan perahu ke tebing sungai," katanya.
 Sebaik saja dia naik ke tebing, tiba-tiba kelihatan ekor buaya melibas bahagian belakang perahunya. Bahagian itu berkecai akibat libasan buaya yang seakan-akan memberi amaran," katanya.
 Abdul Wahab berkata, jika seseorang mengamalkan petua itu, pemancing bukan saja tidak diganggu buaya malah akan memperoleh tangkapan udang galah yang lumayan.
 Bagaimanapun, katanya, faktor cuaca dan keadaan air sungai juga perlu diambilkira. "Memang tidak dinafikan, di mana banyak udang galah, di situlah ada buaya. Berhati-hatilah jika memancing udang galah," nasihatnya lagi.

No comments:

Post a Comment