Monday, 18 July 2011

Merah, Jenahak, Kerapu Gemar Udang Lipan

Udang lipan, udang ketak dan udang mentadak atau nama saintifiknya Hemisquilla ensigera (Odontodactylus sp.) cukup dikenali di kalangan pemancing laut dalam yang gemar menjadikannya sebagai umpan hidup untuk memburu ikan merah, jenahak dan kerapu.
 Habitatnya yang mudah didapati di persisiran pantai berlumpur sekitar Pantai Timur Semenanjung dan kawasan karang batu, menyebabkan mengapa umpan ini digilai kerana keberkesanannya menjerat ikan terbabit.
 Bentuk fizikal badan seakan spesies serangga mentadak atau lipan yang mempunyai kulit keras bahagian kepala hingga ke ekornya dan mempunyai sepasang penyepit serta enam kaki, mampu membesar kira-kira 30 sentimeter.
 Bersifat karnivor dan gemar memburu ikan, udang atau siput karang dengan bersembunyi di celah batu antara kelebihan udang ini menyesuaikan dirinya selain melakukan teknik penyamaran.
 Di seluruh perairan laut di dunia ini, terdapat kira-kira 400 spesies yang hampir sama di perairan negara ini. Cara menangkapnya menggunakan pukat tunda.
 Dalam industri komersial berkaitannya, udang lipan turut dijual kepada peminat ikan akuarium untuk dipelihara selain dijadikan bahan masakan untuk makanan laut di restoran yang menyediakannya.
 Dalam arena memancing pula, cara udang ini digunakan dengan mencangkuk pada kepala melalui kulit kepala di lehernya dan kemudian dikeluarkan mata kail itu melalui mata udang tersebut.
 Umpan ini kemudian dilabuhkan bersama batu ladung dalam lubuk berkarang yang dikenal pasti menjadi habitat ikan merah, jenahak dan kerapu.

No comments:

Post a Comment