Pages

Monday 18 July 2011

Tahan Nafas, Jangan Bergerak Bila Ular Hendak Mematuk

Sering kali kita terlupa atau buat-buat lupa perkara keselamatan ketika memancing. Bahaya sentiasa ada di sekeliling tanpa disedari, terutama kepada pemancing yang suka meredah hutan belantara dan muara sungai di seluruh Malaysia. Kebanyakannya tidak menitikberatkan keselamatan diri masing-masing. Peralatan perubatan 'First Aid' perlu dibawa bersama ketika meredah hutan untuk memancing sebagai langkah awal sebelum dirujuk kepada doktor.
 Petua kali ini membicarakan ular kerana bisanya boleh membawa maut kepada mangsa. Bagi warga emas Mat Ali Siku dari Kampung Kuala Pah, Kuala Kelawang, Negeri Sembilan kepakarannya menawar bisa ular tiada tandingan dan tidak hairanlah dia diberi jolokan Pak Ali Ular.
 Mengakui memperoleh ilmu ular menerusi mimpi, warga emas berusia 73 tahun ini sering dipanggil jika rumah jiran-jirannya dikunjungi tetamu tidak diundang itu. Menurutnya, jangan sesekali bermain dengan ular kerana ia boleh mendatangkan musibah jika berlagak berani.
 Kemampuannya menangkap pelbagai spesis ular berbisa seperti tedung selar, ular kapak, ular sawa dan banyak lagi menjadi bualan penduduk kampung. Pesannya kepada pemancing yang suka memancing pada waktu malam jika terserempak dengan ular berbisa seperti tedung selar atau ular kapak jangan menggerakkan badan dan jika boleh tahan bernafas.
 Ular berbisa seperti tedung selar boleh mengesan mangsanya dengan deria haba yang dihembus. Biasanya ular yang sedia hendak mematuk akan berdiri, jadi jangan sesekali mengacahnya.
 Biar ular itu turun ke tanah sendiri dan biarkan ia pergi. Pesannya, bila meredah hutan pada waktu malam pakai kasut getah yang tinggi, ini kerana ia mampu melindungi peha kita dari dipatuk ular berbisa. Jika seseorang dipatuk ular, ikat dengan kuat menggunakan kain atau tali bahagian patukan itu.
 Cara ini, dapat melambatkan bisa ular meresap ke saluran darah. Sedut dengan sekuat hati pada tempat anggota badan anda yang dipatuk ular tadi dan meludahnya supaya bisa berkenaan dapat dikeluarkan. Kemudian, perlu rujuk ke klinik atau pusat perubatan berdekatan.
 Kepada mereka yang kerap memancing pada waktu malam, beliau mengingatkan supaya berhati-hati lihat keadaan sekeliling sebelum melabuhkan joran.

No comments:

Post a Comment