Pages

Tuesday 12 July 2011

Air Tembakau, Sirih, Senduduk Penawar Luka

Rata-rata nelayan dulu mengamalkan petua dalam sebarang aktiviti di laut. Ini termasuk untuk membaca keadaan cuaca sebelum turun ribut atau gelombang besar atau tanda-tanda lain yang boleh mendatangkan bahaya pada keselamatan.
 Namun, petanda atau gerak rasa kini sudah jarang diamalkan oleh generasi hari ini terutama pada nelayan muda atau tekong muda yang sudah bersedia dengan peralatan moden lagi canggih untuk mengesan lokasi dan menjangkakan cuaca yang bakal berlaku. Namun bahaya laut tidak ada undang-undang malah kesan peralatan moden juga tidak dapat menanganinya.
 Ribut akan datang pada bila-bila masa saja walau dalam keadaan cuaca tenang. Justeru, pelaut sama ada di kalangan nelayan atau pemancing perlu sentiasa berhati-hati serta waspada pada setiap masa ketika berada di laut.
 Saya ingin mengingatkan kepada semua kaki pancing supaya tidak menganggap laut sebagai tempat hiburan atau boleh dilakukan apa saja seperti di darat. Laut adalah tempat terlarang tetapi dapat mengajar kita jadi seorang manusia paling sabar dan bertanggungjawab.
 Petua kali ini boleh dijadikan amalan jika berlaku sesuatu yang terdesak seperti pemancing mengalami luka ketika berada nun jauh di tengah laut. Rawatan perubatan pula tidak boleh dilakukan.
 Maka anda boleh menggunakan tembakau rokok yang tentu ada di kalangan pemancing. Langkah pertama, keluarkan tembakau rokok itu dan rendamkan dalam air bersih (sedikit saja air digunakan). Kemudian perahkan tembakau itu hingga menjadi pekat. Sapukan air tembakau itu pada bahagian yang luka. Anda akan merasa pedih tetapi ia dapat memulihkan luka berkenaan, Insya-Allah.
 Namun dalam apa jua keadaan, anda harus banyak berehat supaya keutuhan tubuh berada pada tahap maksimum. Juga, anda perlu memberi tumpuan pada aktiviti memancing buat sementara waktu. Tekanan perasaan ketika menahan sakit akan menjadi ketegangan yang tidak dapat dikawal, bakal mengundang anda lebih tertekan justeru kedua-dua ini tidak anda satukan demi kebaikan anda juga.
 Satu lagi petua ialah mamah daun sirih yang dengan kapur, pinang dan gambir. Lalu airnya disapukan pada tempat luka atau bisul juga baik dilakukan sebelum seseorang mendapat rawatan di hospital atau klinik. Tetapi persoalannya pernahkah anda mencuba makan sirih?
 Kepada pemancing di darat, andai anda tidak mempunyai tembakau atau daun sirih, cuba gunakan daun senduduk. Ambil beberapa helai daun pucuk senduduk. Baca selawat dan kunyah. Kemudian lumurkannya pada bahagian luka berkenaan. Insya-Allah darah akan berhenti.

No comments:

Post a Comment